DALIELA (kiri) dan Keoh berbual dengan Mustapa (kanan) dan Masahiko, selepas majlis penyampaian biasiswa, baru-baru ini.
PANASONIC Corporation memilih dua pelajar Malaysia untuk melanjutkan pelajaran peringkat sarjana di universiti terbaik di Jepun. Pelajar terbabit ialah Zed Daliela Zulkafli, 22, yang akan mengikuti kursus tiga tahun di Universiti Tokyo dalam bidang Kimia Nanomaterial dan Keoh Sye Hoe, 25, di Universiti Kanazawa dalam bidang Kejuruteraan Bahan.
Zed Daliela dari Bangi ialah lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia Universiti Vanderbilt, Amerika Syarikat, manakala Keoh lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Kazuhiro ketika berucap pada majlis itu berkata, 301 pelajar dari Malaysia, China, Taiwan, Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam sudah menerima biasiswa itu sejak diperkenalkan pada 1998.
Katanya, daripada jumlah itu, seramai 34 daripada 40 penerima biasiswa dari Malaysia sudah menamatkan pengajian mereka, manakala enam lagi termasuk Zed Daliela dan Keoh masih meneruskan pengajian.
Beliau berkata, Panasonic memperkenalkan biasiswa ini sebagai penghargaan kepada masyarakat negara ini bagi menambah jumlah tenaga pakar di Asia untuk membangunkan rantau ini dengan lebih cemerlang," katanya.
Zed Deliela ketika ditemui berkata, peluang diberikan akan digunakan sebaik mungkin dalam kerjaya berkaitan penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Katanya, ini satu peluang terbaik untuk mengenali negara matahari terbit itu dan keunikan budayanya serta memperkenalkan kebudayaan yang ada di Malaysia.
"Saya akan berusaha dan belajar bersungguh-sungguh supaya pelaburan yang diberikan Panasonic tidak sia-sia," katanya.
Keoh yang berasal dari Kulai, Johor berterima kasih kepada Panasonic kerana memberi peluang merealisasikan impiannya menyambung pengajian ke peringkat sarjana di Jepun.
"Selepas menamatkan pengajian nanti, saya bercadang menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) dan pulang ke Malaysia untuk bertugas sebagai pensyarah," katanya.

1 Comment:
Hebate...
Silahkan Meninggalkan Komentar untuk Kemajuan Bersama DILARANG ! SPAM, SARA, atau Berkomentar KASAR ^_^